Advertisement

DBKK Tutup Sementara Taman Permainan di Taman Ujana Rimba Tropika Untuk Kerja Naik Taraf Alatan Permainan – Sabah News

KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuat penutupan sementara kawasan taman permainan kanak-kanak di Taman Ujana Rimba Tropika kepada umum bagi kerja-kerja menaik taraf alatan permainan, bermula hari ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja menaik taraf ini akan melibatkan penukaran set alatan permainan sedia ada yang dikenal pasti berada dalam keadaan uzur, kepada alatan permainan yang baharu jenis modular yang bersifat lebih moden, edukatif, tahan lama dan selamat untuk digunakan.

“Set alatan permainan baharu yang akan dipasang ini juga adalah bebas daripada ancaman kecederaan, mempunyai pengiktirafan SIRIM dan mematuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu, tindakan penutupan sementara kawasan taman permainan kanak-kanak ini diambil sebagai langkah pencegahan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini, sehingga boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada para pengunjung taman sepanjang tempoh menaik taraf ini,” katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Pada November 2024, DBKK telah mengambil tindakan serta-merta untuk membuat pembaikan berskala kecil terhadap alatan permainan kanak-kanak di Taman Ujana Rimba Tropika susulan aduan orang awam berkaitan kerosakan yang dialami serta menjalankan pemeriksaan susulan.

Berdasarkan Laporan Pemeriksaan dan Penilaian Kerosakan (Damage Assesment), alatan permainan di Taman Ujana Rimba Tropika mengalami 80 peratus kerosakan secara keseluruhan bagi semua komponen. Kerosakan berpunca daripada kadar penggunaan yang tinggi dan kegiatan vandalisme.

Selain itu, alatan permainan di taman permainan kanak-kanak ini sudah digunakan melebihi tempoh 21 tahun, iaitu sejak taman mula dibuka pada tahun 2003. Sepanjang tempoh ini, DBKK telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan membuat pembaikan pada komponen yang rosak. Menurut laporan, alatan permainan tersebut disahkan telah uzur dan sudah tidak selamat digunakan.

“Adalah menjadi tanggungjawab DBKK untuk menyediakan persekitaran yang kondusif, khususnya di kawasan rekreasi seperti taman awam dengan penyediaan kemudahan dan fasiliti taman yang selamat dan berfungsi.

“Justeru itu, penggantian alatan permainan yang rosak atau uzur adalah seiring usaha DBKK untuk meningkatkan keselamatan di taman awam ini,” tambah kenyataan itu lagi.