KOTA KINABALU, SABAH – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Pintasan, Datuk Fairuz Renddan sedia mempertahankannya jika diberikan peluang oleh Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Kerusi panas itu dilaporkan turut diintai President USNO Tan Sri Pandikar Amin yang ditewaskan YB ‘Koboi’ pada Pilihan Raya Negeri ke-16 lalu.
“Kalau boleh semua parti nak tanding, tapi tengok secara logik. Adakah bertanding untuk menjadi parti yang kuat atau untuk berpecah belah?
“Adakah kita mahu menjadi calon untuk diri sendiri atau pun demi rakyat? Saya yakin telah menyelesaikan banyak (masalah) dalam tempoh sepenggal.
“Datuk Seri (Hajiji) mahu menyatukan semua parti, namun terpulang kepada beliau dan kepimpinan tertinggi untuk pembahagian kerusi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata lima nama calon dari sayap pemuda PGRS telah disampaikan kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti.
Sambil menekankan kepentingan barisan pemimpin belia, Fairuz memberi bayangan senarai tersebut termasuk muka baharu yang berwibawa.
“Perlu ada suara anak muda, calon muda dulu ada banyak (bertanding) di Petagas dan beberapa kawasan lagi mungkin juga di Semporna.
“Kita tak risau kubu kuat mana-mana parti kerana pernah ditumbangkan pada PRN lalu. Orang mahukan pemimpin baharu…bukan menidakkan orang lama tetapi ada masanya pemain bola juga perlu berehat.
“Hanya 20 hingga 30 peratus pemuda cenderung untuk menjadi ahli parti dan lain-lain lebih suka tidak terikat.
“Ramai pemuda akan menunggu untuk melihat kepada tawaran-tawaran yang diberikan agar lebih memahami kerajaan mana yang sanggup berjuang untuk mereka.
“Pemuda hanya mahukan sebuah platform yang memudahkan holongan ini terus membentuk masa hadapan khususnya dari sudut Pendidikan selain minat kepada aktiviti sukan dan kursus di setiap kawasan,” katanya.