KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi menganggarkan kira-kira 10 juta isi rumah di seluruh negara berpotensi diklasifikasikan dalam kumpulan T15 kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun katanya, perlu penilaian teliti berdasarkan pelbagai platform pangkalan data seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menurut Rafizi lagi, kementeriannya kini sedang dalam proses memuktamadkan butiran mengenai kategori kumpulan T15 dengan kerjasama Kementerian Kewangan sebelum membentangkannya kepada Kabinet dalam tempoh sebulan lagi untuk kelulusan.
Beliau memaklumkan, tempoh sebulan diperlukan untuk menyediakan kerangka yang lebih tepat bagi kumpulan T15, yang akan ditentukan berdasarkan lokaliti dan bukannya definisi nasional seperti dalam dasar terdahulu.
“Individu yang diklasifikasikan sebagai berpendapatan tinggi atau lebih dikenali sebagai T15 akan ditentukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih atau ‘net disposable income’ serta lokasi tempat tinggal mereka.
“Ini kerana, penentuan kadar pendapatan boleh belanja bersih tidak boleh diselaraskan secara ‘pukul rata’ tanpa mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut sesuatu lokaliti.
“Jika kita menggunakan definisi seragam untuk seluruh negara, di situlah ketidakadilan berlaku. Seseorang yang berpendapatan RM15,000 di Kuala Lumpur, yang merupakan kawasan berharga tinggi, mungkin tidak dianggap kaya berbanding seseorang yang berpendapatan RM15,000 di Gua Musang… maka penentuan (T15) mungkin berdasarkan lokasi,” memetik laporan media di Melaka.
Rafizi berkata bahawa asas bagi definisi T15 juga akan dipandu oleh pendapatan boleh guna bersih isi rumah, dengan ukuran tanggungan berdasarkan kos asas untuk kehidupan yang layak.
“Ini bermaksud bagi setiap keluarga dengan saiz tertentu, berapakah jumlah minimum yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang layak. Kehidupan yang layak tidak hanya ditakrifkan dengan memiliki rumah yang baik serta akses kepada makanan dan minuman, tetapi juga termasuk perbelanjaan untuk aktiviti sosial, hiburan, dan sebagainya… dengan kesihatan dijaga dengan baik,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober, menyatakan bahawa beberapa subsidi akan dikurangkan untuk kumpulan T15, dan perkara ini telah menarik perhatian pelbagai pihak yang mendesak kerajaan mengkaji semula pengelasan pendapatan isi rumah bagi mengelakkan pengecualian bantuan dan subsidi bahan api.
Anwar turut mengkritik tindakan sesetengah pihak yang mempertahankan subsidi bagi kumpulan T15, walaupun pendapatan mereka mencecah RM100,000 hingga RM1 juta.